Sunday, October 7, 2012

Kalah Hati - Karya RINZUAS,2012

Ini kisah seorang aku. 
Seorang aku yang telah mengalami kalah hati.

29 September 2012.
Bumi Athens,Greece.  

Aku menghantar pemergiannya dengan lambaian dan senyuman. Sehingga dia hilang daripada pandangan barulah aku berpusing dan masuk ke perkarangan rumah. Pagar berjeriji lukisan bunga-bunga dandelion segera kukatup. Tiba-tiba telefon Ungu-ku berdering. Aku melihatnya sepintas. Dia. Senyumku kembali mekar.

"Jangan berdiri di tepi jalan. Nanti kena langgar kereta!Marahnya

Tanpa ucapan salam, dia terus mengomel.  Aku hanya mampu tertawa. Baru beberapa saat dia hilang daripada pandangan mata, aku terus diterjah dengan larangannya. 

"Aku lega dapat melihat dan menghantar kau sehingga pergi." Jawabku jujur. 

Pendek saja perbualan kami. Yang sebenarnya, aku mahu mengucapkan terima kasih atas kesudiannya melawatku di sini namun ayat itu sekadar bermelodi di hujung hati. Tidak dapat kusuarakan. Walaupun hanya kebetulan dia lalu di Bandar Athens untuk menguruskan hal-hal perkahwinannya, aku rasa terharu dia masih mengingatiku. Sekurang-kurangnya sebagai sahabat baik. 

Sampai saja di bilik, aku meletakkan Pasta Pistachios dan Chicken Olives pemberiannya tadi di atas meja. Lansung aku ke kamar mandi. Mengambil wudhu' dan mendirikan solat. Laungan azan daripada Puncak Acropolis segera kusahutkan.
 

Senja itu, ada air mata yang tertinggal di lusuh sejadah hijauku. Kiranya air mata yang kutahan sejak tadi mula menitik. Mula-mula setitis. Selepas itu dua titis. Dan lama-lama titisannya ibarat salji yang telah luruh. Menderu-deru seraya bergenang di pelupuk mata.
  
Dan aku menangis kerana aku terlalu gembira.  

Aku gembira dapat melihatnya di hadapan mata. Aku gembira melihat dia sihat dan baik-baik saja. Aku gembira dapat menghantarnya pulang sehingga dia hilang daripada pandangan mata. Aku gembira kerana mengetahui dia bahagia. Kuandaikan itu adalah yang terakhir yang aku mampu lakukan untuknya. Yang terakhir sebagai seorang saudara kepada saudaranya. Yang terakhir sebagai seorang sahabat kepada sahabatnya.

Pesanan Aliya Rassendyle lewat musim luruh dulu kembali terngiang-ngiang di cuping telinga ini.

"Dia berhak bahagia. Dia berhak gembira. Doakanlah dia selalu. Restuilah dia selalu. Bila kau sayangkan sesuatu kerana Allah, itu bermakna kau menerimanya tanpa bersyarat. Dan syarat yang ditetapkan adalah, kau dan dia kekal bersaudara ibarat sedarah satu ibu satu bapa kerana takdir pintanya sebegitu. Dunia ini bukan Syurga yang segala yang terlintas di hati Tuhan akan baca dan segera akan tunaikan. Dunia ini tempatnya untuk menguji dan diuji. Dunia ini tempatnya untuk menduga-duga. Bila menang, kau ucap syukur. Bila kalah, lansung kau redha. Dan. Satu yang kau perlu pelajari daripada pertemuan ini adalah terimalah hakikat kau telah kalah."
 

Aliya Rassendle merupakan sahabat baikku yang serba tahu sedikit kisah antara aku dengan lelaki itu. Dan kerana nasihatnya, aku masih berpijak di bumi yang nyata. Belajar apa itu ertinya melepaskan sesuatu yang bukan milikan kita.

"Cuba beritahu aku, dalam dunia ini apa yang kita punyai? Tiada satu pun yang kita punyai. Dunia ini bukan kita yang punya, Anna. Segalanya Allah yang punya." Begitu pesanan Aliya Rassendle lengkap tersemat di dalam hati ini. 

Malam itu, aku menikmati Pasta Pistochoius dan Chicken Olives pemberiannya sambil ditemani udara dingin dan laungan syair daripada penyanyi klasik berbangsa Roman di hujung antena radio yang sepintas seakan membaca isi hatiku, 


Matahari kalah terang dengan hatinya,
Bulan kalah indah dengan senyumannya,
Air kalah jernih dengan jiwanya,
Bumi kalah subur dengan amalnya,
Langit kalah cerah dengan akhlaknya,
Batu kalah keras dengan imannya,
Dan aku pun kalah hati kepadanya...
(Siti Khadijah Bashir, 2010) 

Kalah hatiku padanya walaupun bukan diriku gadis pilihannya

Malam pun datang, setelah siang pun hilang. Begitu putaran hidup dan pelajarilah daripada alam. Bukalah mata. Bukalah hati. Semoga bertemu dengan teman pengganti dan jangan dikalahkan lagi hati. (Sidratul Muntaha, 2012)

Dan aku tertanya-tanya, setelah aku mati nanti, bolehkah aku bertemu dengannya lagi? Jika di dunia ini, aku tidak berjodoh dengannya, bolehkah aku meminta pada Allah, jodohkanlah aku dengannya di akhirat sana?

Malam semakin dingin. 
Bulan juga seakan-akan malu menunjukkan wajahnya. 

Dalam kesamaran malam, kapsul putih Isosorbide dinitrate segera kutelan, untuk seketika waktu aku berusaha untuk terlelap setelah letih menahan sakit.   

Mataku kian kabur. Apa yang kutahu aku hanya mahu bersendiri kala ini. Ya Allah, aku mahu hanyut dalam kayuhan menyebut Asma'-Mu. Izinkanlah, Tuhanku.

Anna Raflavia, Athens Greece.
2012.

p/s : Rinzuas adalah sekeping kawan baik saya. Kata-kata, tingkah laku, dan apa yang ada padanya saya suka. saya kagum *_*

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...